#1 Bekas Telur – Quirky Egg Minder

Quirky Egg Minder

Ya, ada tempat letak telur yang boleh disambungkan dengan internet. Apa tujuannya? Sebabnya adalah untuk menghantar push notification kepada smartphone pemilik sekiranya telur dah nak habis. Selain itu, bekas telur ini juga akan menyalakan lampu LED sekiranya ada telur yang sudah menghampiri waktu tamat tempoh. Bagus juga kalau peniaga makanan pakai bekas telur macam ni, tak adalah kes keracunan makanan disebabkan telur busuk, ya tak?

#2 Botol Air – Hidrate Spark

Hidrate Spark

Teknologi smart water bottle ini telah diwujudkan untuk membolehkan anda mendapat notifikasi atau peringatan untuk kekalkan hidrasi tubuh badan pada setiap masa.

#3 Berus Gigi – Onvi Prophix

onvi prophix

Teknologi smart toothbrush atau berus gigi pintar ini boleh dikatakan antara yang paling unik jika dibandingkan dengan yang lain. Berus gigi ini dilengkapi dengan kamera 10-megapixel yang akan menghantar video dan foto secara langsung kepada smartphone.

#4 Floss – Flosstime

FLOSSTIME

Flosstime adalah ‘floss dispenser’ pintar yang boleh diletakkan pada cermin tandas dan akan mengeluarkan floss dengan kepanjangan 18 inci apabila ditekan.

#5 Sistem Air Jus – Juicero

Juicero

Juicero adalah sistem pengejusan yang tak akan menghasilkan jus sekiranya terputus daripada talian wifi. Disebabkan kepelikan idea ni, produk ini mendapat banyak kritikan sehingga syarikat ini ditutup, agak tragis.

#6 Garfu – HapiFork

Jangan terkejut bila dapat tahu apa fungsi sebenar garfu pintar ni, memang tak terfikir dek akal benda sebegini pun boleh wujud. Fungsinya adalah untuk menghasilkan getaran sekiranya mengesan si pemakan makan dengan terlalu laju.

#7 Payung – Oombrella

oombrella

Pernah hilang payung? Kalau anda tak pernah, mesti ada dalam kalangan sesiapa yang anda kenal dah pernah melalui pengalaman ni. Mana taknya, masa dalam perjalanan pergi hujan lebat, tapi bila nak balik hujan dah berhenti, langsung terlupa nak bawa payung yang dibiarkan kering tadi. Disebabkan masalah inilah Oombrella dicipta. Fungsi utamanya adalah ia mampu menghantar lokasi terakhir payung ini ditinggalkan kepada phone anda. Bukan itu sahaja, payung ini turut akan menghantar maklumat cuaca kepada pemilik.

#8 Tongkat – Huahai Intelligent Walking Stick

Huahai Tongkat Wifi

Ya, wujud tongkat pintar yang dilengkapi dengan teknologi GPS. Ciptaan ini boleh dikatakan cukup berguna terutama sekali bagi hikers yang aktif keluar masuk hutan. Ia juga dilengkapi dengan butang SOS untuk memudahkan pengguna menghantar laporan kecemasan kepada 5 nombor yang boleh disetkan di dalam sistem.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh membuat panggilan telefon menggunakan speaker dan mic yang sudah sedia ada dalam tongkat pintar ini.

#9 Baju – Xenoma e-Skin

xenoma eskin

Baju pintar pun ada? Baju yang diberi nama e-skin ini dilengkapi dengan sensor yang akan mengesan pelbagai aktiviti badan anda seperti pergerakan, pernafasan, suhu badan dan sebagainya. Yang menariknya, pakaian ini boleh dipakai dengan lasak seperti t-shirt biasa dan boleh dibasuh dengan mesin basuh. Wow!

#10 Sudu – Spün

Spün

Nama produk ini, Spün, sebenarnya sama sahaja sebutannya dengan sudu di dalam bahasa Inggeris ‘spoon.’ Mesti anda tertanya-tanya, sama ke fungsi dengan garfu pintar ‘bergetar’ yang dikatakan tadi? Tak sama sekali, sebab sudu ini fungsinya lebih high-tech.

Sudu ini cukup sesuai untuk digunakan oleh mereka yang sangat menjaga makan. Software pengesan imej ataupun image recognition software akan mengesan makanan yang anda makan dan kemudiannya sensor penimbang (weight) akan mengira secara automatik bilangan kalori dan mengumpulkan maklumat nutrisi makanan yang diambil.

#11 Kuali – SmartyPans

smartypans

SmartyPans  ini menggunakan sensor pengesan suhu, berat, dan kawalan suara (voice control) untuk memaklumkan kepada pemilik informasi nutrisi makanan yang dimasak. Untuk tujuan ini, anda perlu memasukkan maklumat resepi di dalam aplikasi khas dan kuali ini seterusnya akan memberikan maklumbalas berkaitan kalori dan pelbagai lagi data nutrisi yang lain.

Apa pendapat anda? Adakah semua hasil ciptaan ni perlu wujud? Ada yang buat anda tertarik untuk beli tak? Cuba kongsikan di ruangan komen.